Tawaran RM2,000 bagi saksi buang dua kucing di Ampangan

0
2

Nurul Huda Abhar

[Tular] PERSATUAN Haiwan Malaysia menawarkan ganjaran RM2,000 kepada sepupu pemilik  dua kucing yang dibuang di Ampangan, Seremban yang tular semalam.

Ini berhubung dengan pertikaian warganet tentang pengakuan pemilik laman sosial Instagram nvdiahusna mengenai sepupunya yang membuang dua ekor kucing peliharaan di tempat awam.

“Pemilik Instagram bernama nvdiahusna perlu tampil beri maklumat dan perjelaskan adakah insiden pembuangan dua ekor kucing cantik dan gebu benar wujud atau hanya propaganda untuk melariskan page Instagram dengan meraih banyak likers (tanda suka).

“Jenayah kezaliman haiwan bukan satu gurauan. Secara logiknya dua ekor kucing ini sihat dan cantik dan boleh menemui tuan baru sekiranya benar-benar diusahakan.

“Pilihan terakhir adalah dengan menyerahkan kucing kepada pengusaha shelter (tempat perlindungan) kucing beserta jumlah bayaran tertentu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, tawaran sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada saksi yang membantu dalam pencarian pelaku itu serta maklumat peribadi pengadu akan dirahsiakan.

Pemilik akaun Instagram tersebut juga perlu membuat tuntutan maaf secara terbuka jika didapati membuat hantaran palsu, kerana telah mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat khususnya pencinta haiwan.

Pemilik akaun Instagram atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kes itu boleh hubungi Persatuan Haiwan Malaysia melalui aplikasi WhatsApp di talian +601120901097.

Tangkap layar dari Instagram nvdiahusna

Semalam, satu hantaran di status akaun Instagram mendakwa sepupunya terpaksa membuang dua ekor kucing dengan alasan anaknya menghidap penyakit pernafasan.

Hantaran tersebut mencetuskan kemarahan warganet dan pencinta haiwan yang beranggapan individu yang melakukan perbuatan tersebut patut menerima tindakan undang-undang.

Terkini, seekor kucing tersebut dilaporkan telah berjaya diselamatkan oleh warganet, namun salah seekor kucing lagi masih gagal ditemui. – Malaysia Post