Peluang Khairuddin bersihkan nama – Puad Zarkashi

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berpeluang membersihkan namanya di mahkamah, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, melalui mahkamah ia dapat meredakan kegusaran rakyat kerana sebelum ini ada beberapa individu sudah didakwa dan didenda kerana melanggar perintah kuarantin.

“Bolehlah Khairuddin menjelaskan kenapa dia tidak pakai gelang. Kenapa langgar kuarantin sampai 12 kali? Apakah status negatif virus boleh jadi alasan untuk bergerak bebas?

“Mahkamah juga boleh mempertimbangkan sama ada memulangkan gaji empat bulan itu boleh meringankan hukuman jika didapati bersalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Puad berkata, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mohd Mazri Yahya juga menggunakan alasan yang sama.

“Menurut beliau, tidak pernah berlaku dalam sejarah, seorang menteri memulangkan gaji apabila melakukan kesalahan.

“Tetapi, bagaimana nanti kalau ada Pegawai Kementerian Khairuddin mohon potong gaji supaya tidak dikenakan tindakan tata tertib?,” katanya.

Beliau juga turut memberi contoh, di mana Nik Abduh Nik Abdul Aziz menasihatkan Khairuddin ‘jangan merana dan hampa’ dengan ujian Allah. ‘Terima dan nikmatinya dengan iman dan taqwa’.

“Justeru, berlapang dadalah kalau Khairuddin didakwa di Mahkamah.

“Kalau hukumannya berat, Khairuddin akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan Menteri. PRU15 nanti bertandinglah semula.

“Seperti mana nasihat Nik Abduh, terima dan nikmatinya dengan Iman dan Taqwa. Setidak tidaknya nama baik Kerajaan PN, Muafakat Nasional dan PAS tidak tercemar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Puad membidas sikap segelintir penyokong Khairuddin yang tidak boleh menerima kritikan.

“Seperti biasa keluarlah perkataan seperti bodoh dan tali barut DAP.

“Kenapa bersikap “denial”? Baru enam bulan merasai nikmat kuasa kita sudah lalai. Belum lagi 22 bulan.

“Janganlah berfikiran lapok. Bila dikritik itu dianggap pecah belah. Tetapi buat salah tidak dianggap menjejaskan imej jamaah,” katanya. – Malaysia Post