Fitri Nizam
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merampas sebanyak 453 item merangkumi produk mengandungi steroid dan bahan terlarang tidak berdaftar bernilai RM9.7 juta.
Operasi pada 13 Ogos lalu di Melaka itu, dijalankan hasil aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik dan acnotin di platform e-dagang serta melalui ejen di Kuala Lumpur, dipercayai berkaitan dengan premis diserbu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 40 pegawai penguatkuasaan farmasi menyertai serbuan di tujuh premis terbabit.
Katanya, penjualan produk kesihatan tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Steroid dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi.
“Steroid anabolik kerap disalahguna oleh individu untuk tujuan membina otot badan. Selain mampu merosakkan buah pinggang, penggunaaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon dalam badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.
Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722. – Malaysia Post

