‘Rakyat biasa potong tangan, menteri potong kuku’

0
1

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali terus disindir susulan kegagalannya menjalani perintah kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Terbaharu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menyindir Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dengan memberikan analogi hukum hudud.

“Kalau hudud dilaksanakan, rakyat biasa dipotong tangan, menteri potong kuku (potong gaji) sahaja. Mengarut!,” katanya menerusi ciapan di Twitternya petang tadi.

Syed Saddiq menambah dalam kes melibatkan menteri, ‘undang undang’ lain dipakai untuk menyelamatkan kawan.

“Rakyat biasa yang langgar kuarantin, didenda RM12,000 dan dipenjara sampai 5 bulan,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan gagal menjalani kaurantin kendiri sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Khairuddin juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta menyumbang gajinya selama empat bulan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Covid-19).- Malaysia Post