Mufti Perak masuk hospital akibat angin ahmar

0
2

Muhammad Afiq

MUFTI Perak Tan Sri Harussani Zakaria dikejarkan ke hospital kerana serangan angin ahmar pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Dr Zulkifli Noordin petang ini.

“Teman mendapat berita (yang telah di tabayyunkan) Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Perak menerima ujian ditimpa serangan angin ahmar @ stroke pagi tadi.

“SS Tan Sri telah dimasukkan ke wad ICU Hospital KPJ Ipoh dan masih dalam rawatan dan pemantauan perubatan.

“Jom kita sama-sama doakan semoga Allah mempermudahkan segala urusan perawatan keatas SS Tan Sri, diberi kesembohan segera dan kesempurnaan kesihatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Sementara itu Sinar Harian melaporkan Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin yang mengesahkan perkara itu berkata.

Beliau berkata, Harussani dikejarkan ke hospital selepas solat Subuh pagi tadi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diberikan Jabatan Mufti Perak setakat ini, Harussani masih lagi dirawat di hospital berkenaan dalam pemantauan rapi.

“Saya menyeru seluruh rakyat Perak dan rakyat di seluruh negara mendoakan kesejahteraan Tan Sri Mufti yang kita sayangi.

“Kita mengharapkan agar beliau segera sembuh kerana khidmat beliau masih lagi diperlukan di negeri ini,” katanya seperti di laporkan.- Malaysiapost