Chong Wei rindu gelanggang badminton

0
3

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui rindu dengan gelanggang badminton yang ditinggalkannya lebih setahun lalu.

Ia selepas dia melihat sepasang kasut miliknya yang digunakan pada aksi final badminton perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Beijing 2008.

“Pagi tadi kemas rumah sama keluarga. Termenung lama tengok kasut dalam peti cermin ini.

“Dia lah’ yang teman i (saya) berjuang Final Olympic 2008 di Beijing. Pingat Olimpik pertama Chong Wei. Rasa macam baru tahun lepas. Rindu.

“Bad boy (budak nakal) ini membantu saya saya membawa pulang pingat olimpik pertama saya, Beijing 2008. Saya masih ingat setiap detik perlawanan akhir itu. Saya rindukan gelanggang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam final 2008 itu, Chong Wei meraih pingat perak selepas tewas kepada seteru utamanya, Lin Dan pada aksi final 12-21, 8-21.

Chong Wei meraih dua lagi perak Sukan Olimpik iaitu di London 2012 dan Rio 2016.

Kini berusia 38 tahun, Chong Wei menggantung raket pada 13 Jun 2019 dengan rekod 69 kejuaraan (titles).

Kasut yang digunakan Chong Wei pada final Sukan Olimpik Beijing 2008 – Foto Facebook Lee Chong Wei