Nilam Oshman
Tidak ada mana-mana individu termasuk menteri yang akan terlepas daripada dikenakan hukuman sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Mengulas mengenai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang daripada luar negara, beliau berkata semua kes dilaporkan akan disiasat.
“Isu saman dan kompaun, itu dibawah kuasa Kementerian Kesihatan.
“Setiap orang tidak kira pangkat akan dikenakan tindakan, ia tidak mengatasi undang-undang.
“Timbalan Menteri ke, Menteri ke, kalau mereka melakukan kesalahan, melanggar SOP akan dikenakan hukuman,” katanya dalam sidang media di Felda Besout 2, Sungkai Perak di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan akan menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang melanggar SOP.
Ia susulan tindakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang tidak mematuhi arahan kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.
Susulan kritikan itu, Khairuddin mendakwa beliau bebas daripada wabak itu selepas tiga kali menjalai tujuan saringan.

