DATUK Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya yang keluar dari PKR, mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi hari ini.
Borang keahlian mereka diserahkan secara rasmi oleh bekas Timbalan Presiden PKR itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Kongres Negara 2020 di ibu negara.
Selain Azmin, kumpulannya ITU termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah;
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jaffar, (Nibong Tebal) Mansor Othman, (Batu Pahat) Datuk Rashid Hasnon, (Saratok) Ali Biju dan (Puncak Borneo) Willie Mongin.
Turut bersamanya adalah Ahli Parlimen Segamat, Santhara Kumar mengumumkan menyertai parti itu selepas menyerahkan borang pada awal bulan ini.
Azmin ketika berucap di kongres itu mengisytiharkan Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women, Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara menyertai Bersatu.
“Kami menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia, sekarang adalah masanya untuk PPBM bersatu demi negara, bersatu untuk Malaysia,” katanya pada kongres yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
Penyertaan mereka itu diterima serta-merta oleh Bersatu dan kad keahlian parti turut diserahkan oleh Muhyiddin kepada Azmin.


