Syed Saddiq mungkin tubuh parti orang muda

0
2

Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Abdul Rahman memberi bayangan tidak menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Memetik laporan Berita Harian Online, Ahli Parlimen Muar akan menubuhkan parti baharu berasaskan orang muda pelbagai bangsa.

Syed Saddiq berkata, tidak kira apa yang berlaku beliau sentiasa menghormati dan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad namun pada masa sama tetap menghormati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawanya ke dunia politik.

“Namun, saya rasa, sudah tiba masanya untuk pemimpin muda yang menyertai Bersatu sebelum ini, yang disingkirkan atau dipecat oleh parti diberi peluang kedua,” katanya, hari ini.

Rabu lalu, pengasas Pejuang mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftarkan parti itu.

Tujuh pengasasnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Dr Maszlee Malik; bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, walaupun masih belum menyertai parti itu beliau masih menyokong blok pembangkang.

“Pejuang dan saya masih lagi keluarga tetapi pada masa sama, ramai pemimpin muda yang perlu diberikan peluang untuk menerajui parti,” katanya.

Beliau berkata, gerakan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda hanya akan ditubuhkan berdasarkan kepada suara majoriti orang muda di Malaysia.

“Kita akan tunggu pengumumannya. Ketika saya menyertai dunia politik, saya tidak pernah terfikir mengenai kuasa tetapi keutamaan saya ialah untuk memastikan suara orang muda boleh didengari,” katanya.