PRN Sabah: Kerajaan negeri hargai keputusan mahkamah

0
2

Awang Abdullah

Kerajaan negeri menghargai keputusan mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya melihat perkara itu dari dua aspek, iaitu perlembagaan negeri dan kepentingan untuk melindungi institusi Tuan Yang Terutama (TYT).

Jelasnya, hak TYT membubarkan DUN termaktub dalam perlembagaan negeri dan ia tidak sepatutnya dipertikai mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, kita bersyukur dengan usaha yang dilakukan dan kita amat menghargai keputusan itu berlandas dua perkara iaitu dari sudut undang-undang atau enakmen Sabah dan kedua melindungi institusi TYT.

“Sebab ia termaktub dalam perundangan Sabah, hak membubarkan DUN bukan terletak pada mana-mana pihak, ia adalah kuasa mutlak TYT. Kita boleh cadang, minta tapi dia yang luluskan.

“Jadi, saya amat menghargai keputusan dibuat oleh pihak kehakiman dalam mendaulatkan undang –undang,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini yang menolak permohonan kehakiman difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan 32 penyandang DUN berkaitan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, apa yang penting selepas ini ialah persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Amalan lompat sana, lompat sini adalah sesuatu yang tidak sihat. Kerajaan sudah berjalan dua tahun tetapi ada pihak tertentu menggunakan kuasa dan kewangan mereka untuk mengganggu gugat kestabilan,” katanya.

Musa bersama 32 penyandang DUN memfailkan permohonan semakan kehakiman awal bulan ini terhadap keputusan membubarkan DUN yang dibuat Juhar pada 30 Julai lalu.

Sebelum pembubaran DUN, Musa mendakwa berjaya mengumpul majoriti mudah untuk mengambil alih kerajaan negeri berikutan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan beralih arah menyertai pembangkang.

Mereka membentuk pakatan baharu untuk cuba menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Warisan dengan Musa sebagai Ketua Menteri, namun gagal apabila Juhar membubarkan DUN berdasarkan permintaan Mohd Shafie.


Kredit Foto: FB Shafie Apdal