PRN Sabah: 85 peratus calon BN muka baharu

0
2

Barisan Nasional (BN) Sabah dijangka mengemukakan 85 peratus muka baharu yang tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia termasuk golongan muda atau belia yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan.

“Saya sudah beri jaminan dari awal..dari 100 peratus, 85 peratus adalah muka baharu dan anak muda dari orang yang belum pernah bertanding,” katanya menerusi wawancara bersama portal SuaraTV.

Selain Umno, BN Sabah ketika ini dianggotai MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bung Moktar berkata hanya 15 peratus sahaja golongan pernah bertanding akan dicalonkan berdasarkan beberapa kriteria termasuk mengambil kira pandangan rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu menjelaskan pemilihan golongan muda atau belia turut mengambil kira kepentingan mereka dalam pentadbiran negara sebagai pemimpin pelapis.

Sehubungan itu, katanya mereka perlu dibabitkan dalam perjanjian baharu BN supaya yakin kepada gabungan itu dan Umno

“Jika BN tidak mampu menerapkan anak muda dalam masa lima tahun, rakyat boleh tendang kami keluar,” katanya.

Mengenai isu pemberian geran tanah yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan), Bung Moktar berkata ia sebenarnya dilusahakan BN tetapi tidak sempat dilaksanakan kerana tidak lagi memerintah selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

Bagaimanapun, katanya tindakan diambil kerajaan negeri itu tidak dapat dijadikan umpan untuk menarik sokongan rakyat terhadap Warisan dan sekutunya.