‘Mat Tyson’ muncul dalam mesyuarat Umno Selangor

0
2

Lama tidak mendengar perkhabaran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sejak beliau kembali ke pangkuan Umno pada 2017.

Malam kelmarin, Menteri Besar Selangor ketujuh dari 1986 hingga 1997 itu muncul dalam Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor di Shah Alam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook beliau.

Noh memaklumkan, Muhammad atau suatu ketika dikenali dengan panggilan ‘Mat Tyson’ (Mat Taib Son) kini adalah Pengerusi Panel Penasihat Umno Selangor.

“Tiada yang lama, tiadalah yang baru. Semoga Umno Selangor kekal utuh. Doakan kami. Terima Kasih,” katanya.

Bekas Naib Presiden Umno yang kini berusia 75 tahun, keluar Umno pada 2009 selepas tewas dalam pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian menyertai PAS pada 14 April 2013 sebelum meninggalkan PAS bersama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan menyertai PKR pada 11 September 2015.

Pada 17 September 2017, beliau mengumumkan kembali ke pangkuan Umno dalam satu sidang media khas yang turut dihadiri Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam sidang media itu, bekas Ketua Penerangan Umno itu menyatakan beliau keluar PKR kerana tidak mahu melihat masa depan orang Melayu tergadai.

Malah beliau mendakwa sepanjang berada dalam mesyuarat tertinggi PKR, pimpinan parti itu tidak membincang kepentingan orang Melayu, sebaliknya sibuk bergaduh satu sama lain antara kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.