8 nelayan warga Indonesia curi hasil laut negara ditahan

0
2

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lapan lelaki warga Indonesia kerana menceroboh serta mencuri hasil laut negara sehingga ke jarak sekitar 2.0 batu nautika timur Pulau Angsa dari Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata kesemua nelayan asing terbabit ditahan berasingan ketika leka menangkap ikan menggunakan empat bot fiber.

“Dalam pemeriksaan ke atas bot pertama, dua warga Indonesia gagal kemukakan lesen bot dan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala bot kedua, dua warga Indonesia mempunyai dokumen tetapi telah tamat tempoh.

“Seterusnya penahanan bot ketiga dan keempat, turut mendapati empat lelaki warga Indonesia melakukan kesalahan sama iaitu dokumen pengenalan diri telah tamat tempoh,” katanya.

Menurut Rosli, kesemua mereka berumur 24 hingga 46 tahun ditahan dan pelbagai jenis ikan seberat 9 kilogram yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

“Maritim Malaysia akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan PATI di perairan Selangor,” tambah beliau.




Kredit Foto: Facebook APMM