PRN Sabah: MCA sokong Bung Moktar

0
2

MCA Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung, berkata pendirian itu selari dengan semangat BN yang diamalkan selama ini.

Jelasnya, pelantikan itu yang dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, harus dihormati dan MCA tiada masalah untuk menyokong demi semangat BN.

“Pelantikan itu juga memberikan BN Sabah autonomi untuk membuat pilihan terbaik dan merangka formula paling berkesan.

“Kita mesti berdepan dengan lawan politik secara satu lawan satu untuk mengukuhkan peluang kita mencapai kejayaan dalam pilihan raya ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Bung Moktar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, namun dibantah beberapa pemimpin Umno negeri diketuai Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur, Abdul Rahman menjelaskan pelantikan Bung Moktar boleh menjejaskan peluang Umno dan BN dalam PRN itu kerana beliau masih berdepan dengan kes mahkamah.

BN Sabah kini hanya disertai Umno, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, empat komponen BN di Sabah meninggalkan gabungan itu, iaitu Gerakan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

PBS bagaimanapun kembali bekerjasama di bawah Perikatan Nasional (PN) untuk menentang gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan), Upko dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN kali ini.