117 ditahan ingkar PKP

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

[Covid-19]
Seramai 117 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 91 individu dikompaun manakala 26 individu direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk iaitu 37 kes, tidak memakai pelitup muka (8) dan premis beroperasi lebih masa (2).

“Selain itu, polis mengesan kesalahan menjalankan aktiviti pelacuran sebanyak 24 kes serta aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial sebanyak 46,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengadakan 64 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara, semalam.

“Dalam operasi itu polis memeriksa 25,333 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.