Guru wanita yang merakam video muridnya mengaku bapanya mahir memasak air ketum, menafikan beliau menyebarkan video terbabit sehingga tular.
Pendidik berusia 40-an itu seterusnya memohon insiden terbabit tidak dipanjangkan kerana salah faham berkenaan sudah diselesaikan secara baik antara semua pihak berkaitan.
Menjelaskan perkara sebenar, guru tersebut seperti dilaporkan Harian Metro berkata, rakaman dibuat ketika sesi pendidikan kesihatan tahun satu di sebuah sekolah rendah di utara, pagi semalam.
Katanya, pada jam 7.40 hingga 8.10 pagi semalam, dia masuk kelas tahun satu untuk mengajar pendidikan kesihatan menyentuh topik peranan ahli keluarga.
“Ada sesi perbincangan dan beberapa soal jawab bersama murid antaranya saya bertanya selain mak, siapa lagi dalam ahli keluarga murid yang pandai masak?
“Saya tergelak dan tidak menyangka murid yang tular ini teruja dan terus angkat tangan menjawab bapanya masak air ketum tanpa sedikit pun rasa bersalah kerana kanak-kanak ini naif, dia tidak tahu ketum itu bukan sesuatu yang elok,” katanya.
Menurutnya, beliau sekali lagi bertanya soalan itu dan merakamkan jawapan sama diberikan kanak-kanak itu sebelum berkongsikannya kepada ibu murid terbabit menerusi WhatsApp.
“Saya hendak jelaskan, kejadian sebenar murid dalam kelas itu bukan mentertawakan jawapan kanak-kanak itu, tetapi mereka ketawa kerana geli hati melihat gelagat saya yang selama ini memang sukar ketawa sampai hendak terkeluar air mata.
“Malah, sesi pembelajaran berjalan seperti biasa dan murid dalam kelas itu pun tidak tahu apa itu ketum.
“Selepas tamat sesi pembelajaran itu, saya hantarkan video terbabit kepada ibunya sebelum wanita itu cuma membalasnya sebagai satu bahan jenaka,” katanya.
Bercerita lanjut, beliau mengakui terkejut apabila ibu murid itu menghubunginya malam tadi mendakwa video terbabit tular.
“Penularan video itu menjadi tanda tanya antara saya dan ibu murid kerana saya hanya kongsikan kepadanya, malah dia mengaku tidak menularkan video terbabit.
“Saya amat kesal dengan individu yang menularkan video itu tanpa usul periksa dan tidak meminta kebenaran serta meletakkan keterangan bukan-bukan yang memfitnah sedangkan niat asal saya mahu ibu bapa murid itu sedar perbuatan itu (jika dilakukan) satu kesalahan.
“Saya ambil berat tidak mahu anak murid saya yang masih kecil ini rosak,” katanya sambil menambah isu itu telah selesai secara baik pagi tadi selepas beliau bertemu ibu bapa murid itu dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Terdahulu hari ini, video menunjukkan murid sekolah berkata bapanya pandai masak air ketum apabila menjawab soalan gurunya tular di media sosial.
Susulan itu warganet mengecam guru wanita terbabit selain mendapat perhatian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang memandang serius berhubung perkara itu.

