Lantik Bung Moktar, Umno ‘bunuh diri’ dalam PRN Sabah

0
1

Aiman Hanif

Tidak sampai 24 jam Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai ‘ketua’ jentera BN Sabah, sebahagian Ketua Bahagian Umno tampil membantah ketetapan itu.

Menggunakan autonomi Sabah sebagai alasan, Ketua Bahagian Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Umno Sabah perlu dipimpin orang yang bebas pertuduhan di mahkamah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Ia langkah bunuh diri. Tidak ada parti di dalam dunia akan meletakkan seseorang yang ada kes mahkamah, (perlu) menghadiri kes-kes mahkamah menjadi pemimpin parti yang akan bertanding pilihan raya.

‘Kami berpandangan bahawa seseorang yang menjadi ketua jentera PRN Umno Sabah mestilah bebas dari persepsi negatif yang boleh dimanipulasikan oleh pihak lawan, mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat, dan yang tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada Umno dan rakan-rakannya dalam pilihanraya negeri.

“Kami yakin pendirian kami ini disokong oleh ramai kepimpinan Umno Sabah di semua peringkat dan rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media di ibu negara malam tadi.

Sidang media itu turut dihadiri 13 wakil pemimpin Umno bahagian di Sabah.

Terdahulu di Parlimen semalam, Ahmad Zahid mengumumkan yang Bung Moktar akan mengetuai jentera BN Sabah.

Atas semangat autonomi yang diserahkan kepada Umno Sabah, Ahmad Zahid berharap pemimpin parti itu akan menggunakan kebijaksanaan dalam menghadapi PRN Sabah.

Ahmad Zahid berkata, Bung Moktar diberi kuasa untuk berunding berhubung agihan kerusi serta Ketua Menteri Sabah selepas PRN kelak.

“Kami percaya dan yakin bahawa jumlah kami pada malam ini akan bertambah, bukan berkurang, setelah isi kandungan sidang akhbar ini diketahui oleh ahli-ahli Umno. Tunggu dan lihat sahaja,” tambah Rahman lagi.

Rahman yang juga bekas menteri Kabinet BN berkata pemilihan Bung Moktar tidak dibincang dengan pemimpin Umno di peringkat akar umbi Sabah.

Jelasnya, ia adalah bertentangan dengan semangat autonomi Umno Sabah yang berhak membuat keputusan mereka sendiri.

Meskipun membantah pelantikan Bung Moktar, Rahman berkata beliau dan pemimpin Umno Sabah lain akan terus kekal bersama parti itu.

‘Kami akan terus istiqomah dalam perjuangan Umno dan akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan Umno Sabah dalam pilihanraya negeri yang bakal diadakan.

“Kami tidak akan keluar dari Umno, tapi kami berjanji untuk meletakkan semula Umno dalam landasan politik yang betul dan memastikan tidak ada pemimpin yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti,” katanya lagi.