Selepas 10 tahun panjat pagar stadium, penyokong Terengganu tampil bayar tiket

0
2

Walaupun hampir 10 tahun berlalu, seorang penyokong Terengganu FC (TFC) hari ini tampil mahu membayar tiket bagi tiga perlawanan melibatkan pasukan Terengganu bagi musim 2010/2011.

Penyokong terbabit hadir ke pejabat pengurusan TFC pagi tadi dan menceritakan ketika itu, dia memanjat pagar stadium secara haram untuk menonton perlawanan.

Menurut TFC menerusi hantaran dimuat naik di Facebook pasukan itu, individu terbabit menyatakan pada ketika itu dia masih muda dan tidak berfikir panjang.

“Pemikiran beliau masih belum terbuka tentang betapa besarnya sumbangan penyokong dalam membantu kewangan dan kestabilan pasukan yang mereka sokong walaupun hanya dengan membeli sekeping tiket,” katanya.

Menurut TFC, individu itu berasa bersalah dan ingin mengambil tanggungjawab untuk memulangkan apa yang sepatutnya beliau serahkan sekian lama.

“Bagi TFC, ia satu tindakan yang sangat terpuji, dan beliau menunjukkan seorang yang jujur bukan saja sebagai penyokong, tetapi sebagai seorang manusia.

“Kepada anda yang kami maksudkan ini, terima kasih, anda adalah penyumbang dan anda adalah pejuang bersama kami,” katanya.