Jual Nik Akif RM4.6 juta buat langsai hutang – Hashim Mustapha

0
2

Jual sahaja Nik Akif Syahiran Nik Mat pada harga RM4.6 juta, kemudian langsaikan semua hutang, kata legenda Kelantan, Mohd Hashim Mustapa secara sinis.

Hashim berkata demikian selepas memberi reaksi mengenai hasrat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mahu menjual perancang tengah sensasi itu pada harga tinggi bagi menyelesaikan hutang.

Hashim berkata, kalau benar KAFA mahu menjual pemain untuk membayar hutang, harga RM1 juta untuk Nik Akif tidak banyak membantu.

“Apa yang dilakukan oleh KAFA tidak akan selesaikan semua masalah sebab masih berbaki RM3.6 juta. Nak jual tiga lagi pemain masih belum membantu.

“Setakat ini KAFA cakap nilai Nik Akif Syahiran RM1 juta tapi belum tentu orang hendak beli. Kalau tiada yang sambut, bermakna KAFA syok sendiri dalam perkara ini,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Hashim menjangkakan tiada pasukan yang mampu berbelanja besar ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Katanya, kalau ada sekalipun pasukan sanggup membeli pemain berusia 21 tahun itu, ia hanya JDT yang mempunyai sumber kewangan kukuh.

“Masa jual Mohammad Ghaddar dulu KAFA dapat untung dan boleh bayar gaji dua hingga tiga bulan seorang, jadi berbaloilah tindakan itu.

“Jual Nik Akif langkah bijak kalau boleh selesaikan semua masalah tapi hutang KAFA terlalu tinggi, jadi berbaloikah tindakan itu,” katanya.