Bekas pengendali skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak, menasihatkan Luqman Hakim Shamsudin agar membina otot dan memperbaiki tahap fizikal.
Katanya, perkara itu penting untuk Luqman lakukan supaya dapat bersaing dengan pemain eropah.
Menurut Bojan Hodak, Luqman tidak mempunyai masalah dari segi skill atau taktikal.
Namun beliau berkata, untuk seseorang pemain itu berjaya, perlu memperkuatkan diri supaya dapat membantu pasukan.
“Kelab eropah lebih gemar seorang penyerang yang kuat dan ada skill. Luqman belum ada size fizikal lagi. Tetapi, dia masih muda lagi dan ada masa yang panjang untuk membina otot.
“Luqman seorang penyerang berbakat cuma perlu gilap lagi. Saya doakan beliau berjaya dan berharap dia dapat membanggakan Malaysia,” katanya.
Bekas ketua jurlatih Kelantan dan JDT itu berkata, Luqman perlu sentiasa bekerja keras setiap masa untuk merebut tempat dalam skuad utama kerana saingan di eropah sentiasa sengit serta ramai pemain berkualiti.
“Nasihat saya kepada Luqman adalah jangan mengharapkan bantuan daripada sesiapa pun. Tak ada pemain yang ingin kehilangan tempat dalam satu pasukan.
“Ini seperti medan perang dalam latihan. Tak ada tempat untuk pemain yang lemah dan kurang menonjol. Luqman harus bekerja keras dan cepat menyesuaikan diri dalam semua aspek.
“Saya tahu kerana saya pernah bermain di Eropah sebelum ini, dan saya tahu bagaimana rasanya berada di sana,” katanya seperti dilapor NST.

