Tiga mangsa rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan lima kenderaan berhampiran Jalan Genuang-Tenang dekat Kampung Melayu Raya, Segamat, malam tadi.
Seorang mangsa ditemui dalam kenderaan Honda Accord manakala dua lagi dalam Proton Saga dengan indentiti ketiga-tiga mangsa masih belum dikenal pasti.
Bomba menerima maklumat kejadian pada jam 10.47 malam dan menggerakkan tiga jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Segamat serta Labis, bersama 15 anggota.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad berkata dua mangsa terselamat iaitu pemandu Perodua Alza, Mohamad Raqib Fitri Mohamad Asri, 23, dan individu dalam Proton Wira.
“Turut terselamat, tujuh individu dalam sebuah lagi Proton Saga iaitu pemandu, Zamri Shedek, 39, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
“Honda Accord dan Proton Saga sedang marak terbakar ketika pasukan penyelamat tiba dan operasi pemadaman segera dilakukan.
Operasi ditamatkan pada 1.28 pagi,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Puad berkata, pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa terperangkap dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Kredit Foto: Harian Metro

