Tak ambil mudah cabaran calon Bebas – Mohd Zaidi

0
2

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz tidak mahu berasa selesa dan mengambil mudah walaupun hanya berdepan dua calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Mohd Zaidi merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim berkata beliau mahu BN meraih kemenangan besar pada PRK kali ini.

Justeru, beliau berharap jentera BN perlu sentiasa bersiap sedia memastikan sokongan pengundi.

“Kita perlu sentiasa bersiap sedia berdepan dua calon bebas, kita tak pandang mudah dan selesa kerana dalam apa juga pertandingan, kita perlu menang.

“Yang pasti kita mahukan kemenangan besar dalam PRK ini,” katanya selepas menghadiri majlis Santai Melukis Mural di Pasar Slim River seperti dilapor Malaysia Gazette hari ini.

Menurutnya lagi, bagi sesi berkempen untuk PRK Slim kali ini beliau memilih pendekatan berjumpa secara bersemuka dengan pengundi berbanding membuat ceramah atau program.

Jelasnya, dengan cara itu beliau dapat beramah mesra dengan pengundi dan dapat mengelak keadaan bersesak di sesuatu acara atau ceramah bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Dengan kempen secara bersemuka ini, saya dapat lebih mesra dengan pengundi dengan mendengar pelbagai keluhan dan pandangan mereka serta menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Tidaklah berhimpit dan bersesak berbanding ceramah atau program di dalam dewan,” katanya.

Selain itu, beliau akan menggunakan pendekatan media sosial seperti Facebook untuk berkempen.

Tambah Mohd Zaidi, beliau cuba untuk bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Slim, serta turun padang ke
semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memberi kata-kata semangat dan perangsang untuk mereka melaksanakan kempen mempertahankan kerusi DUN berkenaan.