Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian RM2.4 juta ditipu sindiket Macau yang menyamar sebagai pihak Telekom.
Kejadian dipercayai berlaku April lalu apabila mangsa berusia 60 tahun dihubungi seorang lelaki memaklumkan mempunyai bil tertunggak dan terbabit dengan kegiatan pengedaran kad kredit palsu.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek kemudian kononnya menyambung talian ke Balai Polis Kuantan untuk pemeriksaan lanjut.
“Mangsa diberitahu terbabit dengan kegiatan kad kredit palsu dan pengubahan wang haram.
“Mangsa yang takut dengan ugutan suspek mengikuti arahan supaya memindahkan wang simpanan akaun tetap milik mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Ismadi, mangsa membuka satu akaun baru di RHB Bank sebelum suspek memindahkan semua wang dari bank berkenaan ke 23 akaun bank milik individu tidak kenali.
Mangsa turut memberikan semua maklumat ciri keselamatan akaun RHB Bank kepada suspek yang kononnya untuk membantu siasatan.
Namun, mangsa menyedari diperdaya 12 Ogos lalu apabila dihubungi suspek untuk membuat pemindahan wang ke akaun lain, dan diugut akan ditangkap polis jika gagal memberikan kerjasama.
Kata Ismadi, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Masyarakat diminta untuk tidak panik dengan panggilan sebegini. Sebaiknya hubungi terus pihak yang berkenaan bagi membuat pengesahan lanjut,” katanya.

