Boleh rayu jika didenda tak pakai pelitup muka

0
2

Individu yang dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dibenarkan merayu untuk pengurangan denda.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan tidak perlu meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan.

“Kita kenakan RM1,000 tetapi mereka boleh merayu, kalau dikurangkan maka Kementerian Kesihatan yang mengeluarkan kompaun boleh memberi pengurangan.

“Jadi, saya rasa tidak perlu pinda akta tersebut kerana nak meminda akta memerlukan masa sedangkan kes sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan sekarang,” katanya dipetik laporan Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika perlu dilakukan pindaan terhadap akta itu, usul akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen supaya kerajaan mengkaji semula kadar denda RM1,000 terhadap mereka yang tidak memakai pelitup muka kerana dilihat membebankan orang ramai, khususnya golongan B40 dan pelajar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) di seluruh Kedah.

“Kemunculan kluster baharu jangkitan Covid-19 di satu-satu kawasan bukan bermakna TEMCO perlu dilaksanakan dan arahan tersebut hanya dikuat kuasa selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini, tiada arahan (laksanakan TEMCO di seluruh Kedah) melainkan Kementerian Kesihatan maklumkan ia perlu, baru kita akan umumkan serta menyenaraikan apa perkara yang boleh dan tidak sebelum mengeluarkan perintah TEMCO,” katanya.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster Covid-19 iaitu Sivagangga, Tawar, Muda dan Sala membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.