Thaddius Unnip
Selepas kira-kira dua minggu menyepikan diri, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, semalam tampil memaklumkan aktivitinya melalui media sosial.
Jamawi yang meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, akhir bulan lalu, memuat naik maklumat berkaitan projek pembangunan di Kemabong.
Menerusi laman Facebook beliau semalam, Jamawi memaklumkan mengenai perkembangan tiga projek di kawasannya yang diluluskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Perkembangan mengenai projek itu katanya, diketahui selepas beliau bertemu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Dr Abdul Latiff Ahmad.
“Berkunjung hormat kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Seri Dr Abdul Latiff Ahmad. Beliau memaklumkan ketiga-tiga projek mega KPLB di DUN Kemabong akan dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.
Projek itu ialah naik taraf Jalan Ulu Tomani, naik taraf Jalan Kemabong-Rundum dan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Kampung Sumambu dan Rundum.
Jamawi berkata, bagi projek naik taraf Jalan Ulu Tomani, kontraktor sudah dilantik oleh KPLB dan Kementerian Kewangan melalui tender terbuka dan akan memulakan kerja pada September ini.
“Naik Taraf Jalan Kemabong Rundum akan ditender terbuka pada Oktober 2020, manakala projek BELB Kampung Sumambu dan Rundum sudah ditender terbuka pada Jun lalu,” katanya.
Jamawi turut menjemput Abdul Latif untuk mengadakan lawatan kerja ke DUN Kemabong dalam masa terdekat.
Beliau turut memuat naik gambar pertemuannya dengan Abdul Latiff yang dipercayai dirakam di ibu negara.
Warganet yang membaca hantaran beliau kebanyakannya memberi maklum balas positif termasuk memujinya kerana mengambil berat program pembangunan di kawasan diwakilinya.
Ada juga yang meminta Jamawi supaya tidak mempedulikan kritikan pelbagai pihak berikutan tindakannya ‘melompat parti’ pada akhir bulan lalu.
Tidak kurang juga yang mengungkit kenyataan Jamawi sebelum ini selepas beliau mengatakan ‘tidak berminat’ dipercayai berkaitan tawaran untuk beralih arah beberapa hari sebelum cubaan mengambil alih kerajaan negeri berlaku.
Jamawi bersama Adun lain iaitu Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau) dan Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) menyertai Musa menubuhkan gabungan baharu untuk menjatuhkan kerajaan Warisan.
Yang lain ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Anita Baranting (Tandek), Datuk Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Kenny Chua (Inanam) serta dua Adun dilantik iaitu Jafari Waliam dan Ronnie Loh Ee Eng.
Jamawi, Hamisa, Osman, Abdul Muis, Saddi, Bolkiah dan Musbah adalah bekas Adun Umno yang melompat ke Warisan bagi menyokong pembentukan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Mei 2018.

