Pendakwah bebas, Ebit Liew menerima Anugerah Khas Hari Belia Negara 2020 sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) di Johor hari ini.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Liew, 36, menerima anugerah itu yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menyifatkan sumbangannya kepada golongan belia adalah kecil, namun sangat menghargai anugerah yang diterima.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira dapat jumpa Perdana Menteri sendiri, sebelum ini asyik tengok di kaca televisyen sahaja.
“Saya sedar apa yang saya lakukan adalah sumbangan kecil. Saya sedar tidak layak kerana lebih ramai yang berkorban serta berjuang.
“Saya hanya usaha kecil di kalangan orang ramai, tetapi saya sangat bersyukur dapat bersama dengan anak muda pada hari ini,” katanya yang membawa pulang hadiah trofi serta wang tunai bernilai RM10,000.
Ebit berkata, anak muda harus diwariskan dengan perkara baik seperti selalu memberi bimbingan, mendoakan dan menggalakkan mereka berbuat kebaikan.
Beliau menasihat golongan belia, dalam niat berjuang mestilah kerana Allah, di samping menanamkan rasa keikhlasan.
“Ia tidak akan berhenti bila diri dihargai, dipuji atau dikeji, disukai atau tidak, kita akan terus buat baik sehingga kita bertemu dengan Allah dan mendapat keredaan-Nya,” katanya.

