Wanita gelang pink dipenjara sehari, denda RM8,000

0
2

Makcik ‘gelang merah jambu’ yang tular di media sosial baru-baru ini, dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.

Nur Emah Mohamad Hashim, 72, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, lapor Harian Metro.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Nur Emah didakwa tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan Pemerhatian di Hanaz Cafe pada jam 8 pagi 6 Julai 2020.

Tertuduh didapati melanggar perintah itu di bawah Subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diarahkan oleh Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor, 5.30 petang 4 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 22.(b), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 24.(a) Akta yang sama dengan hukuman dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, Nur Emah memohon mahkamah mengurangkan denda memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan.

Selain itu katanya, suaminya telah meninggal dunia dan kini menanggung tiga anak selain tahap kesihatannya kurang baik.

Mengikut fakta kes, Jabatan Kesihatan menerima aduan berhubung gambar tular di media sosial menunjukkan wanita memakai gelang perintah pengawasan di rumah tidak berada di alamat yang diperintahkan dan didapati keluar makan di restoran di Meru Raya.

Hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta mendapati tertuduh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 4 sehingga 18 Julai.

Tertuduh diiringi anggota polis selepas pertuduhan di Mahkamah Majistret Ipoh.