Muhammad Mustakim Ramli
Tindakan yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) adalah kemenangan rakyat, kata Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut.
Pengasas Hot Burger Malaysia itu berkata, pembongkaran yang dilakukan sebelum ini membawa hikmah dan anugerah kepada semua.
“Ini adalah satu kemenangan kepada rakyat. Sebenarnya Allah sedang menurunkan sesuatu yang baik kepada kita.
“Allah cabut segala pusat judi di Sungai Buloh itu dan Allah akan hantar sesuatu yang penuh rahmat. Tunggu hikmahnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas penahanan penguat kuasa MBSA oleh SPRM susulan pendedahan yang dilakukannya.
Terdahulu, Asri memberi keterangan selama sejam setengah di Bukit Aman susulan pendedahan yang dilakukannya serta berhubung isu tuduhan anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat.
Beliau tiba jam 10.25 pagi dengan ditemani peguam sebelum keluar pada jam 12.50 tengah hari.
Sementara itu, Asri berkata kesan pembongkaran yang dilakukannya sehingga ramai peniaga kecil terjejas susulan MBSA turut mengambil tindakan kepada mereka adalah di luar kawalannya.
“Saya minta mereka bersabar dan redha kerana akan ada rahmat yang akan diberikan nanti.
“Hikmah yang ada Sungai Buloh bebas dari judi, dari maksiat. Ini satu pengajaran kepada kita. Allah akan gantikan yang lebih baik nanti,” katanya.

