Thaddius Unnip
Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilaporkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah atas tiket Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Baru.
Menurut sumber, Pandikar bakal bertanding di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan dalam Parlimen Kota Belud.
Usno adalah parti lama diasaskan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama, Tun Datu Mustapha Datu Harun pada 1961 sebelum dihidupkan semula sebagai Usno Baru pada 2013.
Usno yang asal dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1996 berikutan pembubaran parti itu bagi memberi laluan kepada kemasukan Umno ke Sabah pada 1990.
Pandikar yang juga Ketua Umum Usno Baru memilih parti itu sebagai landasan politiknya kerana Usno adalah parti beliau memulakan karier politik, awal 1980-an.
Parti itu kini menggunakan slogan Usno New Deal atau Rundingan Baru bagi menarik sokongan terhadap perjuangannya.
Dalam akaun Facebook beliau yang menggunakan nama Pandikar Padila Amin Mulia, Pandikar menjelaskan PRN Sabah Ke-16 pada tahun ini ada persamaan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Usukan di Kota Belud yang disertainya pada 1982.
“Pada pilihan raya 2020 ini, membawa ingatan saya pada PRK Usukan, 1982. Pada masa itu keahlian DUN Sabah didominasi oleh Parti Berjaya. Daripada 48 kerusi, parti pembangkang (Usno) diwakili oleh cuma empat ahli.
“PRK Usukan 1982 terjadi apabila Tan Sri Said Keruak meletakkan keahliannya. Saya telah diberi penghormatan oleh Parti Usno sebagai calonnya. Sementara Parti Berjaya memilih Salleh Said sebagai calon.
“Saya telah memenangi PRK Usukan itu dengan ratusan majoriti sahaja.
“Keadaan PRK 1982 Usukan mempunyai persamaan dengan PRN16, 2020, di mana pada PRN16 ini, saya terjun berjuang dalam parti Usno dalam keadaan Usno pada pandangan umum dan parti lawan, seperti melukut di tepi gantang.
“Saya telah memilih untuk memulakan kerjaya politik saya dalam parti Usno, maka kini sekali lagi saya dengan penuh kesedaran memilih untuk mengemudi bahtera Usno belayar dalam gelora di Laut China Selatan dan Laut Sulu,” katanya.
Beliau menyandang kerusi DUN Usukan sehingga 1985, sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Sabah dari 1986 hingga 1988.
Pada 1989, Pandikar menubuhkan parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) namun membubarkannya pada 2001 lalu menyertai Umno.
Ketika bersama Umno, Pandikar pernah bertanding di kerusi DUN Tempasuk, Kota Belud dari 2004 hingga 2008, sebelum dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga 2018.

