Muhammad Mustakim Ramli
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menggelarkan parti baharu yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan panggilan ‘PAPET’.
Berdasarkan sebutan itu, ia seolah menyamai perkataan atau panggilan ‘puppet’, yang membawa maksud boneka.
“Parti Pejuang Tanahair (PAPET),” kata Annuar.
“Tubuh dan lantik keluarga sendiri,” katanya lagi menerusi ciapan Twitternya @AnnuarMusa.
Beliau berkata demikian selepas membalas ciapan Tan Sri Dr Rais Yatim, juga menerusi Twitter, yang mempersoalkan penubuhan parti baharu itu.
Dr Rais dalam ciapannya menulis, “Khabarnya dah ada parti baru nama Pejuang, anjuran Tun M yang jadi Pengerusi dan anakandanya DS Mukhriz sebagai Presiden.
Terzahirkah perpaduan Melayu dalam parti ini?” katanya yang dilantik sebagai AHli Dewan Negara oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu.
Sementara itu, Dr Mahathir dalam sidang medianya kelmarin, mengumumkan penubuhan parti baharu dengan menamakan parti Pejuang Tanahair (Pejuang).
Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, parti itu ditubuhkan atas dasar kesedaran dan usaha untuk membanteras rasuah yang menghancurkan bangsa.

