Najib tanya SPR dan BERSIH ada komen?

0
2

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan bagaimana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih memberi geran tanah kepada penduduk negeri itu minggu ini.

Ini kerana, menurut Najib, kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah menjadi kerajaan sementara atau dikenali sebagai ‘caretaker government’ dengan kuasa yang amat terhad.

Ia susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah dibubarkan pada 30 Julai lalu.

“Kenapa pula Shafie masih boleh ke sini ke sana untuk memberi geran tanah kepada penduduk pada minggu ini?

“Kenapa dulu tak beri? Nak beli undi ke?,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Najib meminta komen daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan BERSIH berhubung perkara itu.

Semalam, Mohd Shafie berkata beliau berhak untuk memberi bantuan terutama membabitkan hak rakyat seperti geran tanah kerana beliau masih sah sebagai pemerintah negeri.

“Kenapa mempersoalkan tugas jabatan negeri yang terus berkhidmat kepada rakyat jika jabatan persekutuan di Sabah masih boleh berfungsi walaupun DUN sudah dibubarkan?

“Sebagai pemerintah Sabah yang sah, saya berhak untuk memberikan bantuan kepada rakyat lebih-lebih lagi membabitkan hak rakyat seperti geran tanah,” katanya.