Kementerian Kesihatan Malaysia KKM mengenal pasti satu kluster baharu, kebanyakannya tertumpu di Mukim Tawar, Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama kluster itu (iaitu kes ke-9113) adalah lelaki warga Malaysia yang juga peniaga.
Beliau mempunyai sejarah hadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang telah berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.
“Upacara ini dianggarkan dihadiri 30 orang. Pada 8 Ogos, beliau mula mengalami sakit dada serta demam dan telah segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan.
“Saringan Covid-19 dijalankan pada 9 Ogos dan dikesan positif pada 11 Ogos.
“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secaraaktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 13 Ogos, 86 kontak rapat beliau telah disaring termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain kontak,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, sembilan kes dikesan positif Covid-19, 21 negatif; dan 56 masih menunggu keputusan.
“Kesemua kes baharu kluster ini adalah ahli keluarga beliau, di mana tiga kea didapati mempunyai gejala.
“Sembilan daripada kes positif termasuk kes pertama mempunyai sejarah hadir upacara sembahyang kematian tersebut,” katanya.

