Nilam Oshman
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu bertindak segera ke atas kegiatan perjudian bukan sekadar memberi kenyataan.
Jamal menegaskan tindakan Hamid yang mengeluarkan kenyataan terhadap isu berbangkit sangat memalu dan mengecewakan.
Beliau juga menyifatkan tindakan ketua polis negara mengambil mudah terhadap kes kegiatan perjudian yang makin berleluasa.
“Jika beliau mahu dihormati kembali oleh masyarakat, setelah kenyataan-kenyataan lawak dan badut yang beliau keluarkan sebelum ini, perlulah melihat reaksi dan pandangan rakyat terlebih dahulu.
“Buktikan dan lakukan sesuatu terhadap pengusaha-pengusaha dan tauke-tauke perjudian dengan mengheret mereka ke mahkamah bukan hanya menyita kedai judi itu,” katanya ketika ditemubual Malaysia Post berhampiran IPD Ampang Jaya, Selangor hari ini.
Jamal berkata, masyarakat perlu sedar dengan keadaan sekeliling dan laporkan jika ada kegiatan seperti ini.
Namun katanya, yang mengecewa dan membimbangkan masyarakat apabila orang yang mendedahkan sesuatu kegiatan haram dikenakan tindakan bukan sebaliknya.
“Janganlah macam saya saja(mendedahkan kegiatan perjudian)mungkin saya orang politik malah orang yang mendedahkan pula didakwa.
“Jadi, seperti saudara Asri, kalau tidak ada campur tangan dari Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) nasib dia sama macam saya… akan didakwa… akan meringkuk dalam lokap dan penjara.
“Ini menunjukkan betapa kuatnya kuasa sindiket judi,” ujarnya.
Sementara itu ketika ditanya berkenaan tindakan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar dan Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) terhadap Asri, beliau berkata, dia akan mempertahankan dan memberi bantuan guaman kepada Asri Janggut.
“Saya yang akan mula-mula berikan bantuan guaman dan mencari sumbangan daripada rakan-rakan lain akan membiayai kos-kos beliau.
“Pihak polis iaitu OCPD dan sebahagian dari polis di Ibupejabat Polis Daerah Sungai Buloh berehat sehingga kes ini selesai untuk pastikan siasatan ini telus dan adil kepada Asri
“Manakala pihak MBSA perlu lakukan tindakan sama adil, kenapa hanya kedai dia sahaja diangkat sedangkan sepatutnya MBSA membantu rakyat dengan memberi cadangan dan menggalakkan untuk meniaga.
“Sekarang ini pun, orang terkesan dari PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Biarlah dia nak meniaga burger pun bukannya cepat kaya macam kedai judi, dia cuma cari rezeki menyara keluarganya,” katanya.
Baru-baru tular di media sosial pendedahan yang dibuat oleh pemilik Hot Burger yang dikenali sebagai Asri Janggut tentang premis perjudian haram sekitar Sungai Buloh.
Asri kesal kerana tiada tindakan dikenakan terhadap premis-premis tersebut biarpun telah lama beroperasi dan diketahui umum.

