Fitri Nizam
Malaysia kembali mencatatkan satu digit kes baharu positif Covid-19 hari ini apabila sembilan individu disahkan menghidap wabak itu menjadikan jumlah keseluruhan 9,103 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes aktif kini dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 169 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Katanya, daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan itu, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.
“Lima kes import tersebut adalah dari Jepun, India dan Pakistan iaitu satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, New Zealand juga satu kes di Selangor dan Singapura turut mencatat satu kes di Johor.
“Semua empat kes penularan di dalam negara adalah di kalangan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan tiga kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil sebelum dihantar pulang ke negara asal dan Sabah pula satu kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Tiada kes penularan di dalam negara di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bahawa tiada kluster Sivagangga dikesan sehingga jam 12 tengah hari ini dan menjadikan individu positif kluster berkenaan kekal 45 kes.

