PRN Sabah: PCS pimpinan Anifah bergerak sendiri hadapi PRN

0
2

Parti Cinta Sabah (PCS), landasan baharu perjuangan politik bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mahu bergerak bersendirian menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau yang meninggalkan Umno kira-kira dua tahun lalu berkata, tindakannya itu tidak bermakna menolak sama sekali untuk bekerjasama dengan parti lain.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu bagaimanapun berkata, pihaknya sedia menimbangkan untuk menjalin kerjasama dengan parti lain yang mempunyai misi perjuangan sama dengannya.

Namun, katanya PCS menolak kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan), walaupun ada persamaan selaku parti tempatan di negeri itu.

“Ya, kalau Warisan mempunyai misi dan visi yang sama, kenapa tidak bekerjasama, tetapi bagi saya PCS dan Warisan bagai langit dengan bumi,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelasnya, PCS akan memperjuangkan isu penting termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ia mahu bebas bersuara untuk mengemukakan masalah serta isu yang berkaitan dengan perjanjian berkenaan.

Beliau turut meminta parti dari Semenanjung seperti Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membiarkan parti tempatan Sabah menguruskan sendiri negeri itu.

“Setiap kali pilihan raya, pemimpin dari Semenanjung berduyun-duyun ke Sabah dan pengumuman yang dibuat ketika berkempen adalah dari kerajaan persekutuan.

“Sebab itu Sabah dikatakan deposit tetap, tetapi hanya pada masa yang diperlukan sahaja. Sudah tiba masanya parti tulen tempatan mentadbir negeri ini, tetapi tidak bermakna kita menentang parti dari Semenanjung. Kita akan bekerjasama dalam hal lain,” katanya.

Kata Anifah, PCS bertanding untuk menubuhkan kerajaan dan ia akan menampilkan calon berkaliber yang akan diumumkan sebelum hari penamaan calon nanti.

Mengenai abangnya, Tan Sri Musa Aman, beliau berkata, sudah tiba masanya bekas Ketua Menteri Sabah itu memberi laluan kepada orang lain untuk mengambil alih kepemimpinan negeri yang baharu nanti.