Cuba dulu akta lompat parti di Pulau Pinang, kata menteri

0
1

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan Pakatan Harapan (PH) menguji undang-undang lompat parti di negeri Pulau Pinang yang dikuasai mereka terlebih dulu.

Ia bagi membolehkan pihak PH tahu apakah akta seperti itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ataupun tidak.

“Maknanya kita kena pinda dulu perlembagaan dengan menyatakan bahawa tidak boleh bebas untuk persatuan.

“Barulah tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Selepas itu, barulah kita boleh buat undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Takiyuddin lagi, pelaksanaan akta anti lompat parti juga memerlukan sistem pilihan raya sedia ada ditukar dan undang-undang berkaitan dipinda.

“Untuk lebih adil kita tunggu kes Pulau Pinang dahulu,” kata Takiyuddin merujuk tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Daun) yang melompat parti baru-baru ini.

Empat Adun berkenaan ialah, Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq; Adun Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim; Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin; dan Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.

Tambah Takiyuddin lagi, kerajaan mentadbir berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan.

Justeru katanya, mengugurkan wakil rakyat atas sebab berhijrah ke parti lain tidak boleh dilakukan sama sekali.

“Biar mereka bawa kes ini ke mahkamah dan mahkamah akan tentukan keputusan ini.

“Selepas itu kerajaan akan kaji sama ada akan wujudkan Anta Anti Lompat Parti ini,” katanya lagi.