Nurul Huda Abhar
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi ‘kurang seri’ apabila bekas ratu cantik Pesta Kamaatan atau Unduk Ngadau, Jo-Anna Sue Henley Rampas mengesahkan tidak akan bertanding.
Jo-Anna, 31, memberitahu Malaysia Post, beliau mengambil keputusan itu kerana kini sarat hamil dan sedang menunggu kelahiran bayinya.
Dalam nada yang teruja, bekas ratu cantik Unduk Ngadau 2007 itu berkata keputusan tersebut juga dibuat demi memastikan kandungannya sihat.
“Sebenarnya sekarang saya sedang menunggu hari untuk bersalin… jadi saya tidak akan kembali bertanding di mana-mana kerusi DUN dalam PRN akan datang.
“Faham saja keadaan semasa mengandung perlukan rehat. Jika mahu bertanding dalam PRN, saya perlu beri lebih banyak komitmen untuk itu,” katanya.

Begitupun, anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui tetap aktif membantu program pergerakan sayap Warisan terutama dalam mendekati golongan wanita muda.
Naib Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu apabila bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu di Tuaran.
Bagaimanapun beliau tewas kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Joniston Bangkuai yang juga bekas wartawan.
Mengenai peluang Warisan kali ini, Jo-Anna yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah berkata beliau yakin rakyat Sabah akan terus memberi peluang kepada parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) untuk terus mentadbir negeri.
“Banyak perubahan dibawa oleh kerajaan pimpinan Warisan yang lebih dekat di hati rakyat walaupun dalam masa singkat.
“Sebagai contoh perihal pemberian geran tanah kepada rakyat asal Sabah. Kebanyakan mereka duduk dan mengusahakan tanah adat negeri (NT).
“Kerajaan sebelum ini (BN) mengambil masa lama untuk meluluskan permohonan mereka. Tetapi apabila Warisan ambil alih, kita lihat cara kelulusan geran itu berubah.
“Banyak geran tanah telah diluluskan dan tidak mengambil masa lama. Ini adalah satu perkara baik dan dalam masa sama hak rakyat terpelihara,” katanya lagi.
Beliau berkata, contoh lain kejayaan kerajaan negeri ialah menghasilkan minyak masak jenama sendiri, Bess yang diterajui anak syarikat tempatan.
“Inisiatif pembinaan kilang pemprosesan minyak masak itu juga mampu merancakkan lagi industri hiliran di mana Sabah antara negeri mengeluarkan hasil minyak sawit berkapasiti besar.
“Salah satu kilang minyak Bess ada di Tawau. Dari situ lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda,” katanya.
Jo-Anna yang berasal dari Kampung Poturidong, Kiulu, berwajah Pan Asian kerana mempunyai darah campuran antara Inggeris sebelah bapa dan Dusun di sebelah ibunya.
Statusnya sebagai isteri kepada seorang doktor perubatan dari Kajang, Selangor, tidak pernah mengganggu penglibatnya secara aktif dalam dunia politik.


