Penduduk, orang awam diarah jalani saringan jika pernah ke Kuala Sanglang

0
2

Penduduk dan orang awam yang pernah mengunjungi Kuala Sanglang bermula 28 Julai lalu diarah untuk menjalani saringan Covid-19, kata Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan kontak rapat dan penularan wabak melalui kluster PUI Sivagangga dihentikan secepat mungkin.

“Orang awam perlu menitik beratkan perkara berkenaan dan sekiranya didapati tidak hadir menjalani saringan, pihak keselamatan akan pergi ke kediaman mereka.

“Senarai penduduk yang tinggal di sekitar Kuala Sanglang sudah ada, jika mereka sudah keluar sebelum daripada penularan berlaku itu tidak apa.

“Tetapi jika pada 28 Julai mereka di Kuala Sanglang atau mempunyai kontak rapat, jadi mereka kena hadir buat saringan,” katanya seperti dilapor BH.

Mengulas mengenai penutupan jalan ke Kuala Sanglang, Surina berkata pihaknya turut menumpukan perhatian dan pengawalan di jalan-jalan tikus bagi mengekang penularan wabak.

“Jalan-jalan ini termasuklah jalan bendang menghubungkan antara negeri ini dengan Kedah di Kuala Sanglang juga akan ditutup.

“Jadi kita minta penduduk untuk terus mematuhi arahan pihak keselamatan bagi memastikan penularan wabak dapat dihentikan,” katanya.

Sehingga kini tiga jalan sudah ditutup dengan sekatan jalan raya membabitkan kira-kira 60 anggota keselamatan ditugaskan bagi mengawal laluan keluar masuk orang awam ke Kuala Sanglang.