Muhammad Mustakim Ramli
Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sempat ‘mencuri masa’ melawat bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sebalik kesibukannya yang bakal ke Belgium untuk menyertai KV Kortrijk.
Menerusi ciapan di Twitter, Khairy atau KJ berkongsi lawatan pemain muda itu ke kediamannya.
KJ memaklumkan mereka turut mengadakan reunion bersama dengan jurulatih, Lim Teong Kim menerusi panggilan video.
“Semalam, Luqman Hakim, Sikh, Firdaus, Arif & Azrul bertandang ke rumah saya sebelum Luqman berlepas ke Belgium.
“Mereka semua pemain generasi pertama NFDP. Selain Luqman, yang lain sekarang bersama JDT & Selangor. Kami juga buat ‘reunion’ melalui video call bersama Lim Tiong Kim,” katanya.
Hubungan baik KJ dengan barisan pemain muda berkenaan bukannya baru berikutan Khairy adalah antara watak penting dalam mewujudkan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang kini dikenali Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Antara pemain berbakat dilahirkan menerusi progam hasil bimbingan Teong Kim itu adalah Luqman Hakim.
Luqman Hakim menjadi milik KV Kortrijk selepas menandatangani kontrak lima tahun bersama pasukan divisyen utama Belgium itu dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara, Khamis lalu.
Majlis menandatangani kontrak dihadiri pemilik pasukan, Tan Sri Vincent Tan; Duta Belgium, H E Pascal Gregoire dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon.
