Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’ berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat seorang pegawai polis susulan pemilik video berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Pengadu merasakan video yang tular di media sosial berkenaan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej pengadu sebagai Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, PDRM dan kredibiliti Ketua Polis Selangor,” katanya pada sidang media, hari ini.
Shafa’aton berkata, susulan maklumat berkenaan sepasukan polis membuat enam serbuan di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang ditularkan.
“Dalam serbuan berkenaan polis menahan dua lelaki warga Bangladesh selain merampas empat tablet dan wang tunai RM114.
“Manakala lima lagi serbuan di tempat berlainan mendapati premis berkenaan tidak beroperasi, jelas ia adalah tohmahan,” katanya.
Katanya, sebelum video berkenaan ditularkan, polis sudah membuat serbuan di beberapa lokasi yang dikenalpasti menjalankan perniagaan haram ini.
“Apa yang ditularkan itu adalah fitnah sehingga mendatangkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menjatuhkan reputasi PDRM.
“Saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan kepada orang ramai maklumat-maklumat melalui saluran yang disediakan,”katanya.
Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis akan menyiasat, seterusnya mengambil tindakan jika benar dakwaan mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.
Ia susulan dakwaan seorang lelaki menerusi dua video dimuat naik di Facebook Hot Burger Malaysia yang tular semalam hingga mendapat lebih sejuta tontonan.
Menerusi video dirakam secara tinjauan dari dalam kenderaan, lelaki itu mendakwa aktiviti mesin kuda dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh seolah-olah kebal dari tindakan pihak berkuasa.
Mengulas mengenainya, Abdul Hamid berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian.

