Judi: MBSA nafi tuduhan, sedia bertindak tegas

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

Majlis Bandaraya Shah Aam (MBSA) kesal dengan tuduhan yang dilontarkan terhadap pihaknya berhubung isu di perjudian di Sungai Buloh yang tular di media sosial.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, MBSA akan bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan.

“Pihak MBSA ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk kakitangan MBSA sekiranya berlaku salah guna kuasa atau isu berkaitan integriti.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan MBSA sekiranya didapati melakukan aktiviti menyalahi peraturan dan undang-undang,” kata kenyataan itu.

MBSA menasihatkan kepada orang ramai supaya menyalurkan aduan berkaitan salah laku kakitangan dengan melaporkan secara emel kepada [email protected] atau menerusi talian 03-55105133 sambungan 1671.

Malaysia Post semalam melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis akan menyiasat, seterusnya mengambil tindakan jika benar dakwaan mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Ia susulan dakwaan seorang lelaki menerusi dua video dimuat naik di Facebook Hot Burger Malaysia yang tular kelmarin hingga mendapat lebih sejuta tontonan.

Menerusi video dirakam secara tinjauan dari dalam kenderaan, lelaki itu mendakwa aktiviti mesin kuda dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh seolah-olah kebal dari tindakan pihak berkuasa.

Mengulas mengenainya, Abdul Hamid berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian.

Sementara itu, menerusi kenyataan yang sama, MBSA mengulas video berkaitan tindakan penyitaan perniagaan yang dilakukan pihaknya kerana peniaga berkenaan meninggalkan peralatan setelah selesai aktiviti perniagaan.

Katanya, tindakan itu menyebabkan masalah lalu lintas dan juga keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebelum ini MBSA telah memberi teguran dan nasihat kepada peniaga itu supaya tidak meninggalkan peralatan, namun tidak diendahkan.

“Dalam tempoh dua bulan, MBSA melakukan dua kali sitaan terhadap peniaga yang sama namun peniaga itu masih melakukan kesalahan dengan meninggalkan barangan perniagaan di tepi jalan,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan MBSA berkenaan mendapat reaksi Facebook Hot Burger Malaysia yang sedih dengan jawapan MBSA.

“Bismillah… sedih betul cara MBSA jawap hal ini…  minta MBSA tengok balik video tu ,dengar betul2 apa yang ulas,apa yang saya pertikaikan,” katanya.