Covid-19: KKM kesan 2 kluster baharu

0
1

[Covid-19] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat dua kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Kurau dan Kluster Meranti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi Kluster Kurau dua kes positif telah dikesan yang mana kes pertama iaitu kes ke-9,050 dilaporkan positif pada 7 Ogos.

“Kes kedua kluster ini (kes ke-9082) adalah abang ipar kepada kes ke-9,050, di mana beliau dikesan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.
S
“Susulan itu, beliau sekeluarga yang berada di Pulau Pinang turut disaring dan semalam beliau dikesan positif Covid-19 manakala lima ahli keluarga yang disaring setakat ini dikesan negatif.

“Setakat ini sejumlah 115 individu kontak rapat telah disaring dan daripada jumlah itu 106 negatif manakala sembilan masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata Kluster Meranti mula dikesan apabila kes ke-9,083, iaitu petugas kesihatan disah positif Covid-19 kelmarin

“Beliau mempunyai kontak kepada kes ke-8,968, iaitu kes yang dikesan hasil saringan pra pembedahan pada 31 Julai.

“Setelah disiasat, kes ke-8968 didapati pernah mempunyai sejarah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan di mana kes ke-9,083 telah bertugas.

“Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan di mana setakat ini 15 individu telah disaring dan punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan,” katanya.

Mengenai Kluster PUI Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, 4,636 orang telah disaring yang mana 45 dikesan positif Covid-19 manakala 27 masih menunggu keputusan.