Aiman Hanif
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa bermalam di lokap tanpa bantal mahupun tilam sebelum didakwa di mahkamah berhubung terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Jelasnya situasi yang dilaluinya berbeza dengan bekas menteri kewangan sebelumnya, tidak perlu bermalam di lokap walaupun semalaman meskipun didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kenyataan Guan Eng itu dipercayai merujuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan membabitkan 1MDB.
“Saya terpaksa menukar pakaian ke baju oren lokap SPRM, mengharungi tidur malam beralaskan lantai papan bilik lokap yang sempit (tanpa bantal mahupun tilam).
“Dan tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelum saya yang tidak perlu bermalam walau satu malam pun dalam lokap.
“Sama ada ini satu bentuk pilih kasih atau tidak, hanya SPRM yang boleh menjawabnya,” tulis Guan Eng di Facebooknya, malam tadi.
Untuk rekod, Najib yang juga bekas perdana menteri terpaksa bermalam selama dua malam di lokap SPRM ketika berdepan pertuduhan di mahkamah.
Perkara itu turut disahkan Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pertuduhan terhadap Guan Eng dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Permintaan itu didakwa dibuat Lim sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Dalam pada itu Guan Eng menyifatkan pendakwaan yang dilaluinya adalah satu tekanan dikenakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya tidak hairan PN cuba menekan saya dengan tuduhan tidak berasas. Ini kerana kerajaan yang tidak dipilih rakyat ini perlu mengukuhkan majoriti tipis mereka di Parlimen.
“Tetapi untuk mereka menjadikan isteri saya sebagai sasaran, yang walaupun seorang peguam namun tidak pernah hidup dengan mewah, membuktikan bahawa mereka sanggup menyeksa jiwa tanpa perasaan belas kasihan,” katanya.

