Tun M didakwa pernah cuba ambil alih parti Berjasa

0
2

Nurul Huda Abhar

Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa pernah cuba mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) melalui bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Naib Presiden Berjasa, Mohd Hazizi Ab Rahman mendakwa kepemimpinan Berjasa berjaya menggagalkan langkah bekas presiden parti itu daripada mengikut telunjuk Ibrahim.

“Selepas gagal ambil Berjasa, dia (Dr Mahathir) tubuhkan Bersatu. Sekarang nak tubuh yang lain pula,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Petang tadi, Dr Mahathir mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti berasaskan orang Melayu yang bergerak bebas tanpa terikat dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pihaknya masih belum menentukan nama parti berkenaan dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.