Lebih 20 tahun tak naik cukai taksiran, sebab itu PBT kurang dana – Zuraida

0
2

Fitri Nizam

[Parlimen]
Dewan Rakyat diberitahu kebanyakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara sudah 20 tahun tidak menaikkan cukai taksiran bagi kawasan masing-masing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata ia menyebabkan PBT menghadapi masalah kekurangan dana hingga tidak dapat melaksanakan lebih banyak pembangunan di kawasan masing-masing.

Menjadikan Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sebagai contoh, beliau berkata kali terakhir kedua-dua PBT itu menaikkan cukai taksiran pada 35 dan 38 tahun lalu.

“Bila saya lihat rata-rata PBT di seluruh negara, mereka tidak naikkan cukai taksiran hampir 20 tahun. Jadi, bagaimana PBT ini mahu berdikari untuk melaksanakan kerja-kerja mereka.

“Bayangkan kalau mereka dapat laksanakan dalam lima tahun sekali, seperti tertera dalam akta, maka PBT-PBT ini lebih mampu untuk buat pembangunan dan keputusan di kawasan masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, keputusan menaikkan cukai taksiran bagi setiap PBT masih tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri masing-masing.

“PBT tidak dapat naikkan cukai taksiran kerana tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri. Apabila tidak ada duit, kerajaan negeri tidak akan tampung, mereka akan harap dengan kerajaan Persekutuan.