Muhammad Afiq
Warga Bangladesh Md Rayhan Kabir akan diusir keluar dan dihantar pulang ke negara asalnya paling awal 31 Ogos ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata Rayhan juga akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya.
“Rayhan akan diusir keluar dari negara ini, pas kerjanya juga telah ditamatkan.
“Bila dia akan diusir kita tidak dapat tentukan lagi, tapi penerbangan paling awal ke Bangladesh pada 31 Ogos,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Tambahnya lagi, pihak polis juga telah selesai menjalankan siasatan terhadap individu berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Rayhan membuat dakwaan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan Covid-19 dalam dokumentari terbitan Al Jazeera.
Dalam dokumentari kontroversi Locked Up in Malaysia’s Lockdown sebelum ini, Rayhan mendakwa kerajaan Malaysia “menzalimi” warga asing.
Susulan itu, Rayhan diburu Jabatan Imigresen Malaysia ekoran pembabitannya dalam dokumentari kontroversi yang dihasilkan Al Jazeera itu dan ditahan pihak berkuasa pada petang 24 Julai.
Polis juga turut memulakan siasatan terhadap stesen penyiaran antarabangsa itu selepas penyiaran dokumentari berkenaan.
Dalam satu pesanan melalui Whatsapp kepada wartawan media Bangladesh, The Daily Star selepas ditahan Rayhan mendakwa beliau tidak menipu berhubung kenyataannya yang dikeluarkan Al Jazeera.
Sementara itu, Khairul berkata hasil siasatan Rayhan oleh pihak polis telah diserahkan ke pejabat peguam negara.
“Pihak polis telah selesai menjalankan siasatan, hasil siasatan telah diserahkan ke pejabat peguam negara.
“Dia juga akan disenarai hitamkan buat selama-lamanya,” katanya lagi.

