Fitri Nizam
[Parlimen] Malaysia tidak akan membenarkan negara menjadi ‘tong sampah’ dunia dan tegas akan menghantar semula sampah berkenaan ke negara asal, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, kerajaan bertindak tegas terhadap kontena-kontena yang membawa masuk sisa toksik termasuk yang tidak mematuhi peraturan seperti membawa sisa plastik dan sebagainya.
“Kementerian ditubuhkan pada Mac ketika pandemik mula menular di negara, namun kita sudah menghantar balik 13 kontena mengandungi sisa toksik dan 42 kontena mengandungi bahan plastik.
“Baru-baru ini, saya sendiri turun ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor setelah dapat maklumat ada 110 kontena yang transit di negara ini dan kini dalam pengurusan untuk hantar semula ke negara asal, iaitu Romania,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kuala Krai (PN-PAS) Abdul Latiff Abudl Rahman, yang mempersoalkan bagaimanakah cara kementerian mengatasi dan mencegah masalah itu.
Tuan Ibrahim berkata, antara negara terlibat menghantar bahan dikenal pasti itu adalah 36 kontena ke Amerika Syarikat, satu kontena ke United Kingdom dan Poland, dua kontena ke Vietnam serta Korea Selatan.
“Secara keseluruhannya 42 kontena sudah dihantar balik ke negara asal dengan berat keseluruhan 796,553 kilogram.
“Malaysia mesti bebas dari elemen-elemen ini kerana kita sudah menandatangani konvensyen Basel,” katanya.

