Johor Darul Ta’zim (JDT) berkemungkinan terpaksa melupakan khidmat kapten pasukan, Hariss Harun pada aksi liga yang akan bersambung 26 Ogos ini.
Ini selepas kelibat pemain antarabangsa Singapura itu tidak kelihatan pada sesi latihan pasukan sejak 17 Jun lalu, sekali gus menimbul tanda tanya peminat.
Hariss difahamkan sebelum ini mengalami kecederaan lutut yang mungkin mengambil tempoh lama untuk pulih sekali gus terpaksa melupakan saingan liga yang membabitkan tujuh perlawanan, lapor BH.
Kelibat Hariss tidak diturunkan pada aksi skuad Harimau Selatan menentang FELDA United pada 14 Mac lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1, sebelum saingan liga ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Skuad bimbingan Benjamin Mora akan kembali beraksi menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, 26 Ogos ini dan kemudian kembali beraksi di Stadium Sultan Ibrahim apabila melayani kunjungan Perak, 1 September.

