‘Frontliner’ hanya rakyat tempatan

0
2

Fitri Nizam

[Parlimen] Kerajaan tidak membenarkan warga asing bekerja dalam sektor tertentu sebagai pekerja barisan hadapan, dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata tindakan itu antara lain bagi memberi peluang kepada rakyat tempatan terutama golongan belia bekerja, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah itu bukanlah bermakna warga asing langsung tidak dibenarkan bekerja dalam sektor tertentu namun itu dilakukan dengan kelonggaran terhad.

“Selepas mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan tidak akan membuka sektor untuk frontliner (barisan hadapan) kepada warga asing.

“Bagaimanapun, jika di stesen minyak kita benarkan pekerja asing menjadi pekerja pam tetapi mereka tidak bertugas di kaunter manakala di kedai makan, kita benarkan mereka menjadi tukang masak tetapi di barisan hadapan masih diperlukan warga tempatan.

“Ini antara langkah memastikan warga tempatan khususnya belia bekerja kerana golongan itu bakal menentukan hala tuju negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.