Sesiapa sahaja boleh menyertai Muafakat Nasional (MN) dan dialu-alukan bersama jika sedia menerima segala prinsip dan nilai teras yang digaris dan dikongsi bersama, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, lahirnya MN atas keinsafan untuk menoktahkan perbalahan puluhan tahun yang membinasakan.
“Lahirnya Muafakat Nasional atas keimanan untuk memenuhi tuntutan Ilahi supaya ummah berpadu dan jauhi permusuhan yang memudaratkan.
“Lahirnya Muafakat Nasional atas kesedaran untuk menyelamatkan agama daripada terus diremehkan lantaran perpecahan ummah yang berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook peribadinya.
Asyraf Wajdi berkata, MN dibina atas dasar keimanan, semangat penyatuan, landasan kesetiaan dan ikatan persahabatan.
“Bukan sekadar perkongsian kuasa, bukan juga hanya perkiraan kerusi pilihan raya.
“Justeru, siapa sahaja boleh menyertai Muafakat Nasional, siapa sahaja dialu-alukan bersama, jika sedia menerima segala prinsip dan nilai teras yang digaris dan dikongsi bersama!,” katanya.

